Tahukah anda? Malaysia mempunyai Kementerian Perpaduan Negara. Pada Mac 2020 yang lalu, Malaysia di bawah pucuk pimpinan yang baharu telah menubuhkan empat kementerian baru. Antara kementerian yang dibentuk semula ialah Kementerian Perpaduan Negara yang sebelum ini dibubarkan dan diletakkan bawah portfolio Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi nasional (JPNIN).
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memelihara kepentingan perpaduan dan semangat muhibah antara kaum dengan turut menubuhkan Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak bagi menjamin suara rakyat di kedua-dua negeri.
Demi memperingati Hari Malaysia kali ke-57 tahun ini bersama budaya norma baharu, marilah kita mengingat semula fakta-fakta di sebalik hari bersejarah ini. [1] Ingat, sejarah adalah sekolah!
1) Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama, tahun 1963.

2) Hari Malaysia menandakan hari penyertaan Persekutuan Tanah Melayu bersama Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Namun Singapura telah keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 untuk membentuk sebuah negara Republik.

3) Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

4) Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran iaitu penentangan dimulakan oleh pemimpin Parti Rakyat Brunei dan perisytiharan konfrontasi oleh Indonesia, serta tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina.[2]

5) Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri namun ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Perpaduan adalah tiang seri negara. Hancur perpaduan antara rakyat Malaysia bermakna, hancurlah kestabilan negara yang telah 63 tahun kita nikmati bahkan kita idamkan integrasi yang lebih kukuh.
Jika tanggal 16 September 1963 lalu, perisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih 30,000 rakyat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Maka pada hari ini dengan kecanggihan teknologi dan kepantasan penyaluran maklumat, bertambahlah kewajaran kita mengisi keutuhan penyatuan yang telah dibina. Antaranya, raikan sewajarnya dan sayangilah watan kita. Tak kenal maka tak cinta!
Rujukan:
[1]http://www.mdks.gov.my/…/fakta-mengenai-hari-malaysia
[2]https://www.bharian.com.my/…/mengimbau-pembentukan…
Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda