Hari Pekerja 2020

[SELAMAT HARI PEKERJA 2020: PEKERJA DAN CABARAN BUDAYA NORMA BAHARU]

Menjejaki kuarter pertama tahun 2020, negara kita telah dikejutkan dengan satu krisis pandemik yang masih belum menemui jalan penyelesaiannya hingga ke hari ini. Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak 18 Mac yang lalu sedikit sebanyak telah memberikan impak kepada kita semua baik secara mental mahupun fizikal.

Bersempena dengan tarikh 1 Mei setiap tahun, kita akan menyambut Hari Pekerja sebagai menghargai semua pekerja di seluruh dunia tidak kira yang bekerja dalam sektor awam, swasta mahupun yang bekerja sendiri.

Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini pastinya melakar dimensi sejarah yang berbeza. Kita menyaksikan pelbagai suasana kerja yg baharu dan tersendiri. Ada yang bekerja dari rumah, ada yang terus menjalankan kerja seperti biasa, malah ada yang terpaksa bekerja dengan tenaga berlipat kali ganda; seperti petugas barisan hadapan negara yang menggembleng tenaga menentang musuh halimunan – tak ubah seperti tentera yang bertarung di medan pertempuran. Bahkan, kita menyaksikan bahawa tidak kurang juga yang dibuang kerja atau dipotong gajinya.

‘We’re in this together’. Sebagai rakyat, kita memahami dan menghargai pengorbanan dan titik peluh yang dicurahkan oleh para pekerja khususnya petugas-petugas barisan hadapan yang tidak jemu untuk terus berkhidmat kepada negara. Ada diantara mereka terpaksa berjauhan dari keluarga, tidak dapat pulang dan mengucup anak-anak dan ibu bapa di rumah yang amat dirindui.

“Mereka bersama ribuan petugas di seluruh negara adalah wira negara. Wira yang tak didendang. ‘Unsung heroes’ yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan.” Itulah petikan ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menghargai jasa para petugas barisan hadapan negara.

Walau apa jua suasana yang dirakamkan pada Hari Pekerja tahun ini, setiap seorang daripada tenaga kerja ini tentunya memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kebajikan anak-anak dan isteri di rumah, selain berperanan untuk memastikan kelestarian dan keharmonian negara terus terjamin.

Justeru, apakah konotasi Hari Pekerja untuk kita tahun ini? Harapannya agar bulan-bulan yang mendatang akan melakar dimensi yang lebih baik buat seluruh warga dunia khususnya buat para pekerja. Kita berdoa semoga akan ada sinar yang lebih terang di hari muka buat semua yang teruji dengan wabak COVID-19 ini.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *