Kenali Asst. Prof. Dr. Uzaimah Ibrahim

Daily Kampus – EDISI KHAS IIUM STARZ

ASST. PROF. DR. UZAIMAH IBRAHIM, ANTARA SEMBILAN PENSYARAH UIAM TERSENARAI, 300 WANITA BERPENGARUH DI DUNIA.

“Wanita itu seperti bunga, mereka harus diperlakukan dengan lembut, baik dan penuh kasih sayang.”-Ali bin Abi Thalib.

Sejajar dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac semalam, bertemakan “Seimbang untuk Sejahtera”, Daily Kampus mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia”.

IIUM Starz kali ini menampilkan pula tokoh wanita yang menjadi inspirasi para wanita masa kini. Bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut memiliki sahsiah yang terbilang. Itulah peribadi mahupun gambaran awal yang sememangnya cocok diberikan buat individu yang bernama Uzaimah binti Ibrahim.

Asst. Prof. Dr. Uzaimah binti Ibrahim merupakan Pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah di UIAM. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan juga di UIAM, seterusnya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran jurusan Undang-Undang Komersial Islam di University of Wales, Lampeter.

Berlatar belakangkan pendidikan tinggi dalam bidang perundangan dan kewangan Islam, tidak dapat disangkal lagi kehebatan serta penguasaannya yang mendalam dalam hal-hal berkaitan kedua-dua lapangan tersebut. Perkara ini diperkukuhkan lagi melalui pencapaian beliau yang disenarai sebagai 300 wanita paling berpengaruh di dunia dalam bidang kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory. Lapan orang pensyarah wanita UIAM yang lain turut sama disenarai sebagai penerima anugerah berprestij ini, antaranya ialah Prof Madya Dr Irwani Abdullah serta Prof Dr Maliah Sulaiman masing-masing dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS) UIAM.

Tokoh wanita ini merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah di Bank Islam serta Ahli Jawatankuasa International Muslim Women Union-Malaysia. Seterusnya, sebagai bukti sumbangan beliau dalam bidang perundangan dan kewangan Islam, beliau telah menerbitkan 10 artikel dalam jurnal dan “chapter” dalam tiga buah buku yang membicarakan tentang perundangan perbankan dan kewangan dalam Islam.

“Kejutkanlah GERGASI di dalam dirimu, kerana ia bakal menggamit kejayaan dalam hidupmu”. Demikian nasihat beliau kepada semua penuntut ilmu, khususnya mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Semoga kejayaan dan pencapaian beliau menjadi inspirasi buat semua untuk terus melangkah dan melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Cendekiawan UIAM, Inspirasi Sejagat”

Rujukan:
https://www.bharian.com.my/…/pensyarah-uiam-tersenarai…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *