[MAAL HIJRAH: UMMAH RABBANI NEGARA HARMONI]
Saban tahun, pada 1 Muharram kita selalu membacakan doa awal dan akhir tahun yang sinonim dengan sambutan tahun baharu Islam atau Maal Hijrah. Kita juga tidak lari dari kebiasaan untuk memasang azam setiap kali tahun baru tiba. Menyentuh soal tahun baru hijrah, tidak lengkap kiranya jika kita tidak mengambil iktibar daripada sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Meskipun umat Islam kini hidup dalam zaman serba moden, ironinya kita masih suram dari sudut penghayatan ajaran agama. Bukan sedikit generasi umat Islam yang cetek pengetahuan akan sejarah Islam khususnya peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW; sehingga hijrah itu pernah disalahertikan sebagai pelarian. Apa yang jelas, hijrah bukanlah suatu pelarian kerana dua terma ini amat jauh sekali perbezaannya.
Sesungguhnya hijrah adalah titik tolak terpenting kepada perkembangan Islam hari ini kerana ia bukanlah sekadar perpindahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah atas suruhan Allah, bahkan hikmahnya membawa kepada klasifikasi surah Makkiyah dan Madaniyah dalam al-Quran.
Selain itu, tanggal 10 Muharram yang juga dinamakan sebagai hari ‘Ashura, merakamkan banyak peristiwa penting yang wajar diambil pedoman oleh semua umat Islam; antaranya ialah peristiwa Nabi Yunus diselamatkan dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam, serta peristiwa laut Merah yang terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun. Rentetan daripada peristiwa tersebut, kita disunatkan berpuasa pada Hari ‘Ashura sebagai memperingati sejarah agung umat Islam.
Peristiwa hijrah ini wajar dijadikan pengajaran kepada sesiapa saja yang mahu berubah daripada kotak minda dan paradigma lama yang negatif kepada perubahan lebih positif selari dengan acuan agama. Peristiwa Maal Hijrah menzahirkan semangat hijrah Rasulullah agar diadaptasikan dan diterapkan dalam kehidupan seharian. Justeru, kita sebagai umat Islam perlu melakukan penghijrahan jiwa dan minda dengan sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk menjadi lebih baik setiap hari.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“The OLD you was good, the NEW you will be even better!” Kami daripada pihak Daily Kampus mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah dan melakar sinar baharu yang lebih gemilang untuk tahun baharu yang mendatang!
Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda