Oleh: Imran Razalle, Mantan YDP MPP USIM 2015/2016
Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang perlu diberikan perhatian dan diambil perhitungan. September 2016 menyaksikan landskap peralihan mandate kepimpinan mahasiswa di kampus-kampus di kebanyakan Universiti Awam di Malaysia. Masa kini, proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, atau Pilihanraya Kampus sedang rancak dijalankan. Majlis Perwakilan Pelajar merupakan suatu badan tertinggi pelajar yang diiktiraf sebagai medium rasmi kebajikan pelajar dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975. Keahlian MPP dipilih melalui system demokrasi pilihanraya kampus dan meletakkan mahasiswa sebagai calon dan warga pemilihnya. Pilihanraya Kampus merupakan satu wadah demokrasi yang seharusnya diraikan serta disuburkan dalam kalangan mahasiswa. Maka ia seharusnya disemai serta disemarakkan dalam jiwa setiap insan bergelar mahasiswa agar persiapan menjadi mahasiswa yang kompeten serta siap siaga sebagai pelapis kepimpinan Negara mampu direalisasikan.
Seorang pemimpin yang dilantik menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar seharusnya mendokong penuh usaha untuk meninggikan kesarjanaan serta menjunjung nilai-nilai keilmuan. Sesuai dengan tujuan asal penubuhan univerisiti yang menjadi tunjang pendidikan tinggi Negara. Memetik kalam ucapan daripada Prof. Madya Dr. Zulkili Hassan, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, dalam ucapannya ketika majlis bersama mahasiswa baru-baru ini, beliau mengambil kata-kata daripada Malcolm X, bahawa “Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those for who prepare for it today”. Beliau menegaskan bahawa ini merupakan simbolik terhadap kepentingan pendidikan serta peranannya dalam pembangunan masyarakat. Maka peranan mahasiswa itu perlu digembeleng dan pimpinan mahasiswa yang dilantik itu seharusnya seorang yang menjunjung nilai kesarjanaan. Seharusnya perjuangan pimpinan ini meletakkan pendidikan dan ilmu sebagai tunjang utama perjuangan.
Seterusnya, tanggungjawab pemimpin mahasiswa juga seharusnya meletakkan nilai-nilai kerohanian serta memperkukuh spiritual dalam kalangan setiap warga pimpinannya. Hal ini adalah kerana jiwa yang hidup dengan agama tidak akan pernah terpesong dari hakikat sebeanr sebuah perjuangan. Gabungan jalinan diantara keutuhan akal serta kemantapan jiwa mampu melahirkan mahasiswa yang jitu dan mapan ilmunya, kukuh pegangannya serta unggul keperibadiannya.
Kebajikan merupakan elemen penting dan menjadi asas utama dalam penubuhan pimpinan mahasiswa di kampus. Mahu tidak mahu, ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang dilantik seharusnya mengutamakan kebajikan mahasiswa dan tidak boleh mengabaikannya walau sekecil perkara. Segalanya perlu dititikberatkan. Konsep gagasan berkebajikan perlu diterapkan di semua kampus yang mana mementingkan setiap ahlinya mendapat hak yang sepatutnya. Ini bertepatan dengan konsep keadilan yang diketengahkan dalam Islam bahawa perlu meletakkan sesuatu pada temaptnya. Justeru, bagi menjamin kebajikan sejagat, semua pihak perlu ditunaikan hak mereka.
Pesanan saya kepada semua ahli Majlis Perwakilan yang baru dilantik, seorang pemimpin yang hebat menawarkan dirinya untuk memimpin terkadang bukan kerana kehendak, tetapi keinginan untuk melihat perubahan yang perlu ada dalam setiap warga pimpinannya. Namun, harus diingat bahawa berani memohon mandate perlu juga berani dihisab tanggungjawab dan peranan sepanjang memegang amanah. Peranan pemimpin itu mendifinisikan reality diawalnya, khadam pada pertengahannya, dan ikutan pada akhirnya. Kerna perjuangan itu memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu menuntut sebuah keikhlasan. Jawatan itu bukanlah sesuatu kemuliaan dan kebanggaan, tidak pernah melambangkan ketinggian, dan tidak akan membezakan anda dengan yang lain. Serta harus diingat, bahawa jangan pernah hanyut dalam tingginya jawatan, kerana peranan hakiki seorang mahasiswa itu adalah khadam kepada ilmu. Kerana, selamanya mungkin tidak akan seseorang mampu memimpin tanpa keilmuan yang menjadi peneman disisinya.
Penulis mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua pimpinan baharu yang dilantik menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar di semua kampus seluruh Malaysia. Semoga usaha untuk memaknakan mahasiswa dan merealisasiakan slogan ‘mahasiswa agen perubahan masyarakat’ lebih rancak dengan kehadiran kalian memimpin mahasiswa. Masyarakat menanti perubahan yang dibawa oleh mahasiswa. Semoga amanah ini dapat dipikul seadilnya. Memetik kata-kata daripada Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkenaan agen perubahan, “mereka adalah generasi yang membentuk kesedaran, golongan terpilih, mempunyai qudwah serta sentiasa berada dihadapan tatkala dipanggil berjuang. Mereka menanggung segala kepayahan bersama, membantu menyelesaikan masalah, berkongsi suka dan duka, sehinggakan mereka mampu meluahkan penderitaan dan melakarkan cita-cita.” Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat adalah sebahagian daripada mereka, tiada sebarang pemisah. Mereka adalah pemimpin masyarakar, tidak pernah sesal dalam memimpin dan tidak pula pernah goyah untuk melihat masyarakat kembali kepada jalan yang benar. Salam Perjuangan buat semua pemimpin mahasiswa dan teruslah untuk melakar perubahan dalam kanvas hidup seorang mahasiswa.
*Artikel ini pernah disiarkan di Berita Harian bertarikh 3 Oktober 2016 dan Sinar Harian bertarikh 5 Oktober 2016
