Pedoman dan Inspirasi daripada Peristiwa Nuzul Al-Quran dan Perang Badar

[PEDOMAN DAN INSPIRASI DARIPADA PERISTIWA NUZUL AL-QURAN DAN PERANG BADAR]

Bersempena dengan Sambutan Nuzul al-Quran pada 17 Ramadhan ini, seluruh umat Islam diseru untuk menghayati hikmah yang terkandung menerusi peristiwa ini dengan menginsafi maqasid atau tujuan al-Quran diturunkan.

Peristiwa Nuzul al-Quran mendidik kita bahawa kandungan ajaran al-Quran adalah bersifat mukjizat merintis masa dan tempat meskipun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu. Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menjadi panduan hidup bagi umat Islam kerana di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran dan falsafah kehidupan yang tinggi nilainya untuk menjadi pedoman kehidupan insan. Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang menjadi keterangan dan rujukan hingga ke akhir zaman.

Tidak lengkap kiranya jika kita tidak menyentuh perihal hikmah daripada Peristiwa Perang Badar yang juga berlaku pada tarikh yang sama. Nyatanya, umat Islam dalam peperangan ini memang sedikit dari jumlah tetapi bukan dari semangat juang. Perang Badar merakamkan hikmah utama yang perlu kita teladani di mana wehdah atau kesatuan itu merupakan asas sesuatu kejayaan. Kemenangan dalam perjuangan bukanlah bergantung kepada kuantiti sesebuah pasukan atau hebatnya kelengkapan senjata yang dimiliki, bahkan memerlukan kepada kekuatan dan kesatuan jiwa insan.

Justeru, apakah azam dan resolusi kita pada sambutan Nuzul al-Quran tahun ini? Ayuhlah kita kembali kepada al-Quran dan sunnah dengan menjadikannya sebagai dasar untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab dan politik. Ingatlah, asas kemuliaan umat Islam terletak pada al-Quran sebagai sumber utama kehidupan. Mudah-mudahan kita merebut peluang dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini untuk meningkatkan mutu dan nilai ibadah seharian bersama al-Quran.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *