Peragut UIA!

Belum pun berakhir kes ‘flasher’, UIA Gombak digemparkan pula dengan satu berita yang membimbangkan seluruh komuniti UIA apabila kira-kira jam 10.10 malam, salah seorang mahasiswi UIA telah diragut berdekatan dengan bangunan Kuliyyah Sains Kemanusiaan.

Mangsa yang merupakan salah seorang mahasiswi tahun tiga Kuliyyah Ilmu Wahyu pada ketika itu ingin pulang ke mahallah beliau menggunakan jalan belakang bangunan kuliyyah Sains Kemanusiaan itu. Jalan tersebut sudah menjadi laluan alternatif untuk kebanyakan mahasiswi balik ke mahallah masing-masing dan pada waktu kejadian, jalan tersebut tidak hanya dilalui oleh mangsa sahaja.

Walaubagaimanapun, dalam keaadan laluan yang dipenuhi pelajar-pelajar, dua orang lelaki telah berjaya meragut dompet mangsa. Mangsa bersama teman beliau tidak sempat berbuat apa-apa kerana terkejut dengan tindakan suspek yang tiba-tiba itu.

Menurut teman mangsa, dua orang suspek tersebut berlari kearah mereka dan dengan pantas menarik dompet mangsa. Suspek berjaya meragut dompet dan I-Phone mangsa. Namun, suspek bertindak membuang telefon bimbit mangsa semula sebelum berlari kearah jalan raya.

“Ada seorang brother(pelajar lelaki) yang naik motorsikal ketika kejadian terdengar kami menjerit. Brother itu membuat u-turn dan mengejar peragut itu.” Cerita teman mangsa yang masih dalam keadaan trauma. Mangsa yang masih cuba ditenangkan oleh pelajar-pelajar perempuan di situ masih tidak boleh bercerita dengan lebih lanjut kerana terlalu terkejut dan trauma dengan kejadian yang tidak disangka itu.

Sejurus kejadian tersebut, salah seorang saksi segera membuat laporan kepada pengawal keselamatan yang berdekatan. Tidak sampai 15 minit kemudian, salah seorang pengawal keselamatan menemui mangsa dan memberitahu mangsa bahawa salah seorang daripada suspek telah berjaya ditangkap sementara seorang lagi masih diburu. Mangsa diminta untuk ke pejabat pengawal keselamatan untuk pengecaman suspek serta membuat laporan penuh.

Dua tragedi yang berturut-turut berlaku dalam tempoh sebulan ini perlu diambil tindakan yang segera. Semoga pihak berwajib dapat mengatasi masalah ini dan semoga kejadian seperti ini dapat dielakkan daripada berlaku lagi. Diharapkan agar mahasiswa dan mahasiswi UIA lebih berhati-hati lagi selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *