Perdana Menteri Malaysia Ke-8

[TAHNIAH PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-8]

Kuala Lumpur, 2 Mac – Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi semalam. Majlis Angkat Sumpah tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.33 pagi.

Perlantikan YAB Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, isteri Tan Sri Muhyiddin iaitu Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta ahli parlimen Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang.

Istiadat angkat sumpah berkenaan sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu. Peristiwa bersejarah ini melihatkan dan mendaulatkan sistem pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

Tan Sri Muhyiddin Yasin, 73 tahun, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, telah terpilih sebagai Ahli Undangan Negeri Kawasan Gambir, ADUN Gambir (N09) dan juga Ahli Parlimen Pagoh (P143). Beliau yang kini menyandang jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga dilantik menerajui Kementerian Dalam Negeri selepas PRU14. Tan Sri Muhyiddin pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-10 semasa menganggotai Jemaah Menteri pada 2013.

Pihak Daily Kampus mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.

Pihak kami percaya beliau mampu memikul amanah yang dimandatkan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, dan dapat menggerakkan kembali pentadbiran negara demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat terus dipelihara.

Setinggi-tinggi tahniah sekali lagi diucapkan kepada beliau. Semoga Allah memandu beliau dalam menjalankan tugas-tugas mengemudi negara selepas ini.

“Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *