Daily Kampus kembali lagi dalam segmen kelapan ‘Wawancara Eksklusif’ dengan menampilkan sebuah isu yang harus diperhalusi dan dikupas bagi meraikan serta memastikan pilihanraya kampus akan datang berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekeliruan dalam kalangan pelajar yang mengundi.
Memulakan bual bicara, saudara Amir Nadzim selaku Presiden Kesatuan Pelajar UIAM (Student Union) – atau akronimnya dikenali sebagai SU, menjelaskan bahawa SU merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan berdaftar di bawah Registrar of Societies (ROS). Maka, ia terikat dengan Akta Pertubuhan serta Constitution of IIUMSU.Menjawab soalan moderator, saudara Amir Nadzim menerangkan bahawa fokus utama SU adalah menjaga hal ehwal dan kebajikan mahasiswa. Sebagai badan tertinggi pelajar, SU menggantikan Student Representative Council (SRC) dengan fungsinya yang sama, namun dengan sedikit keistimewaan berbanding pembawaan SRC sebelumnya. Kelebihan yang dimaksudkan adalah autonomi yang lebih tinggi diberikan kepada mahasiswa dalam menguruskan organisasi serta menentukan halatujunya. Jelasnya lagi, SU juga mempunyai 3 elemen utama seperti executive, legislative dan judiciary.
Di bawah kelolaan SU, suruhanjaya yang berjaya ditubuhkan buat masa ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus dan Suruhanjaya Parlimen, yang mana suruhanjaya ini dilihat amat mustahak dalam memastikan pembahagian kuasa dapat dibahagikan dengan adil dan saksama, tanpa penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.Selain itu, SU juga mempunyai Majlis atau Council yang berperanan untuk membincangkan masalah berkaitan akademik. Keahlian IIUMSU Academic Council ini terdiri daripada setiap wakil Kuliyyah Based Societies (KBS). Terdapat pelbagai jabatan di dalam SU yang turut sama berhempas pulas menyumbang idea dan khidmat bakti, menjadikan SU sebagai pertubuhan yang disifatkan sebagai utuh dan sistematik. Antara jabatan tersebut ialah jabatan media, jabatan penerangan dan lain-lain lagi. Melihatkan kepada sedikit perbezaan yang ada antara struktur SU dan SRC, tidak hairanlah jika sistem pilihan raya yang akan dijalankan kelak juga berbeza. Apa yang nyata, ia memerlukan gabungan ketiga-tiga kampus UIAM; iaitu Gombak, Pagoh dan Kuantan dalam memastikan kejayaan yang optimum dalam pelaksanaannya. Saudari Sakinah Hayati (Naib Pengerusi 1, Suruhanjaya Pilihanraya IIUMSU 2021) dalam ucapannya, menjelaskan bahawa libat urus ketiga-tiga kampus ini adalah bertujuan merealisasikan matlamat dan objektif SU, iaitu bagi menjaga kebajikan mahasiswa itu sendiri. Tambah beliau lagi, 4 perkara khusus yang ingin dicapai oleh SU adalah stability, balance, sustainability dan flexibility dalam konteks mahasiswa dan universiti.
Di akhir wawancara, para panel menjawab persoalan yang dikemukan oleh penonton. Saudara Amir Nadzim dalam ulasannya menyebutkan bahawa usaha untuk menjadikan SU sebagai badan tertinggi pelajar yang diiktiraf perlembagaan UIAM bukanlah perkara yang mudah, maka usaha ke arahnya sedang giat dilakukan dan masih dalam fasa perbincangan.
Sejauh manakah kerangka kefahaman anda tentang perbezaan antara SU dan SRC?

Ikuti media sosial berikut untuk tahu lebih lanjut.
Instagram: https://www.instagram.com/dailykampusofficial/
Twitter: https://twitter.com/DailyKampus
Telegram: https://t.me/dailykampus
22 MAC 2021 | 7 Sya’aban 1442H
DAILY KAMPUS – PORTAL MAHASISWA ANDA