Bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir dalam kalendar takwim Hijrah umat Islam. Tahukah anda, dalam bulan tersebut terdapat beberapa peristiwa bersejarah yang berlaku pada umat Islam zaman lampau? Apakah peristiwa tersebut? Mari kita telusuri sejarah.
1- Peristiwa Penyembelihan Nabi Ismail
Nabi Ibrahim mendapat wahyu melalui mimpinya agar menyembelih Nabi Ismail. Baginda taat akan perintah Allah dengan hati yang redha untuk melepaskan zuriatnya yang dinanti sehingga baginda berusia 86 tahun. Nabi Ismail juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa sebarang bantahan. Pengorbanan bapa dan anak ini membuktikan ketaatan mereka akan perintah Allah, lalu Allah memberikan ganjaran dengan menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas. Kisah ini terus diabadikan dalam sejarah umat Islam, dengan menjadi ibadah sembelihan korban yang saban tahun diadakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

2- Peristiwa Perjanjian ‘Aqabah Kedua
Perjanjian ini berlaku pada 13 Zulhijjah, melibatkan 73 orang lelaki dan 2 orang wanita dari kaum Aus dan Khazraj. Antara isi kandungan perjanjian ini adalah, mereka berjanji untuk taat setia dan terus membantu serta menyebarkan ajaran Rasululullah SAW kepada penduduk Yathrib(Madinah). Rentetan perjanjian ini, Rasulullah dapat mempertahankan kedaulatan agama Islam dengan menjamin syiar Islam agar berkembang ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Selain itu, bilangan dan kekuatan umat Islam terus bertambah di samping menjadi titik tolak penghijrahan Baginda Nabi SAW ke kota Madinah.

3- Haji Wada’ (Haji Selamat Tinggal)
Peristiwa Haji Wada adalah momen besar yang menandakan perpisahan Baginda dengan umatnya. Haji yang pertama sekaligus yang terakhir dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW dilakukan bersama rombongan yang terdiri dari 114 ribu orang jemaah. Pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah; Rasulullah menyampaikan khutbah yang begitu menggetarkan jiwa sebagai kesimpulan kepada ajaran Islam dan sunnah Baginda yang diwariskan kepada umat manusia. Jika diamati, hampir kesemua mesej disampaikan Nabi S.A.W adalah menyentuh hubungan sesama manusia dan merangkumi 10 perkara penting, antaranya ialah larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa hak.

4- Perang As-Sawiq
Peperangan ini berlaku pada 5 Zulhijah tahun kedua Hijrah; iaitu dua bulan setelah peristiwa kemenangan umat Islam dalam Perang Badar. Peperangan ini dimulakan oleh suku Quraisy Makkah di bawah pimpinan Abu Sufyan yang berniat untuk membalas dendam kerana tidak berpuas hati akan kekalahan mereka dalam Perang Badar. Perang ini dinamakan ‘as-Sawiq’ yang bermaksud tepung, kerana tentera berkuda Abu Sufyan merasa gerun akan tentera Islam lalu meninggalkan banyak karung guni berisi tepung dengan tujuan mempercepatkan larian mereka untuk mengelakkan daripada diserang.

5- Pembunuhan Khalifah Umar bin al-Khattab
Pembunuhan Khalifah Umar telah dirancang oleh Abu Lu’luah al-Majusi, seorang tawanan perang yang diambil menjadi hamba kepada Gabenor Busra. Dendam kesumatnya bermula selepas beliau mengadu kepada Saidina Umar untuk meringankan bayaran cukai yang perlu dijelaskan kepada tuannya, Mughirah bin Syu’bah; namun rayuannya ditolak atas alasan jumlah itu bersesuaian dan tidak terlalu membebankan baginya. Abu Lu’luah mula merencana untuk membunuh Saidina Umar dengan belati bermata dua yang diletakkan racun. Akhirnya, pada tanggal 26 Zulhijjah tahun 23 Hijrah, Saidina Umar rebah akibat ditikam di bahu dan perut secara bertubi-tubi oleh Abu Lu’lu’ah, ketika bertakbir untuk mengimamkan solat subuh di Masjid Nabawi, dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dua hari kemudian akibat luka yang parah.

Bersempena kehadiran bulan Zulhijjah ini, kami daripada pihak Daily Kampus ingin mengajak seluruh pembaca agar merebut keberkatan bulan haram ini dengan menghidupkan lebih banyak amalan sunnah, lebih-lebih lagi pada petang 9 Zulhijjah ini (Hari Arafah) yang dijanjikan padanya gandaan pahala. Mudah-mudahan dengan hadirnya Zulhijjah pada kali ini akan dapat mengubah diri kita menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. تقبل الله منا ومنكم تقبل يا كريم ✨