SELAMAT HARI PEKERJA 2021: PEKERJA TERAS MENDEPANI CABARAN

Bersempena dengan tarikh 1 Mei setiap tahun, kita akan menyambut Hari Pekerja sebagai menghargai semua pekerja di seluruh dunia tidak kira yang bekerja dalam sektor awam, swasta mahupun yang bekerja sendiri.

Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini nyata tidak jauh beza daripada tahun sebelumnya. Negara kita masih menyaksikan pelbagai suasana kerja yang baharu dan tersendiri bersesuaian dengan norma baharu. Ada yang bekerja dari rumah, ada yang terpaksa bekerja dengan tenaga berlipat kali ganda; seperti petugas barisan hadapan negara yang menggembleng tenaga tanpa henti. Bahkan, kita menyaksikan bahawa tidak kurang juga yang terpaksa melakukan dua ke tiga kerja dalam satu-satu masa.

Daily Kampus ingin mengajak pembaca menyorot kepada pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang bekerja dalam industri P-hailing atau Parcel Hailing (Motorcycle Parcel Delivery), iaitu industri Penghantaran Makanan dan Bungkusan Bermotosikal – terdiri daripada rider FoodPanda dan GrabFood. Berita mengenai golongan ini cedera parah, cacat seumur hidup, atau maut sudah acap kali dipaparkan di muka akhbar. Lebih merisaukan, statistik mencatatkan seramai 1,684 penunggang p-hailing yang maut sepanjang tempoh 9 bulan PKP sejak Mac 2020, dan ini ternyata bukanlah suatu jumlah yang kecil.

Seremeh apapun sesuatu pekerjaan, pasti ada ujian, dugaan dan tekanan di sana. Walau apa jua suasana yang dirakamkan pada Hari Pekerja tahun ini, setiap seorang daripada tenaga kerja ini tentunya memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kebajikan anak-anak dan isteri di rumah. Sebagai seorang anak, hargailah jasa ibu dan bapa kita yang telah berhempas pulas menyara keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan buat setiap ketua keluarga yang menjadi tunjang keluarga. Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi ketika mencari rezeki. Selamat Hari Pekerja 2021!

____________________________________
1 MEI 2021 | 18 RAMADHAN 1442H

DAILY KAMPUS – PORTAL MAHASISWA ANDA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *