Selamat Pulang Mengundi Mahasiswa UIAM

Kepimpinan adalah satu aspek yang amat penting dalam Islam. Kita melihat bagaimana sirah dan sejarah Islam pada zaman dahulu mengajarkan kita kepentingan wujudnya kepimpinan dalam sebuah negara. Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah dinaikkan sebagai khalifah pertama sebaik sahaja kewafatan Baginda Rasulullah saw. Para sahabat terlebih dahulu mengutamakan pemilihan pengganti kepada Rasulullah saw berbanding menguruskan jasad Baginda yang agung dan mulia itu.

Di samping itu, hadis Nabi saw menjadi bukti betapa seriusnya Islam memandang persoalan kepimpinan ini.

Sabda Rasulullah saw:
” إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ “

Maksudnya: “Jika ada tiga orang dalam permusafiran, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.”

(Riwayat Abu Daud, no. 2609)

Dalam konteks Malaysia yang mengaplikasikan sistem demokrasi iaitu dengan adanya pilihanraya sebagai ruang kepada rakyat memilih sama ada mengekalkan pimpinan yang sedia ada atau menukarkannya, tidak dapat tidak rakyat Malaysia perlu terlibat dalam pilihanraya umum yang ke-14 akan datang. Hal ini kerana, ini sahaja cara tradisi Malaysia dalam pemilihan pemimpin yang baru.

Ulama’ terkenal seperti Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan ramai lagi juga bersetuju bahawa hukum mengundi adalah wajib.

Oleh yang demikian, marilah kita menyahut semboyan pilihanraya umum ini dengan membuang undi pada hari Rabu, 9 Mei ini. Buat seluruh mahasiswa perantauan di setiap pelusuk universiti, pulanglah mengundi di kawasan anda. Tunaikan kewajipan anda kepada negara dengan memilih calon yang mampu mentadbir negara dengan acuan Islam. Selamatkan negara Malaysia dengan undian anda. Satu undian merubah nasib negara dan agama.

Hayati bait-bait kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin yang berbunyi,

” وَالْمِلْكُ وَالدِّيْنُ تَوْأَمَانِ فَالدِّيْنُ أَصْلٌ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا لَا أَصْلَ لَهُ فَمَهْدُوْمٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ “

“Negara dan agama adalah saudara kembar. Agama merupakan dasar, sedangkan negara adalah penjaganya. Sesuatu yang tanpa dasar akan runtuh, dan dasar tanpa penjaganya akan hilang”.

Pilihlah dengan bijak, selamat mengundi mahasiswa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *