Syawal: Berbeza Tetapi Lebih Bermakna

[SYAWAL: BERBEZA TETAPI LEBIH BERMAKNA]

Masa berlalu begitu pantas. Dalam keasyikan melaksanakan ibadah pada Ramadhan ini, akhirnya ia bakal meninggalkan kita sekali lagi.

Berlalulah sudah Ramadhan,
sebulan berpuasa,
Tiba Syawal kita rayakan,
dengan rasa gembira…

Dalam diam, kita menguntum senyum sambil melagukan bait lagu Raya ini. Lagu ‘Suasana Hari Raya’ dendangan Anuar Zain dan Elina ini kekal malar segar, tidak lapuk dek zaman dan sudah sebati dengan jiwa kita rakyat Malaysia. Lagu-lagu halwa telinga ini jika digandingkan dengan juadah lazat, duit raya dan tradisi ziarah-menziarahi menjadikan sambutan Aidilfitri kita sesuatu yang unik dan istimewa. Namun dalam persekitaran dan suasana berbeza akibat wabak COVID-19 ini, adakah kita dapat meraikan semangat Aidilfitri tahun 2020 ini dalam suasana yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya?

Sambutan Aidilfitri dalam kekangan Covid-19 bukanlah alasan untuk kita menyambut bulan kemenangan Islam ini dalam suasana yang suram dan kelam. Meskipun kita tidak berpeluang menyambut Aidilfitri dengan sanak saudara dan sahabat handai di kejauhan, namun kita masih berpeluang untuk meraikannya di sisi keluarga tercinta.

Ketika satu Syawal begitu dinanti, kita perlu mengembalikan semangat meraikan Aidilfitri mengikut cara Baginda SAW supaya sambutannya beroleh pahala dan keberkatan di sisi-Nya. Sunnah paling afdhal dan terbesar adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah. Begitu juga dengan amalan bermaaf-maafan, kita dianjurkan untuk membuka lembaran baharu sesama manusia.

Walaupun peraturan sudah ditetapkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari raya tetap disambut dengan meriah tetapi dengan kaedah yang berbeza. Kaedah penganjuran, pelaksanaan ataupun penghayatan kita tahun ini adalah sedikit berlainan, namun kita pastinya dapat melihat lahirnya inovasi dan kreativiti baharu yang akan dicipta oleh masyarakat Malaysia yang kreatif.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan supaya rakyat tidak melakukan kunjung-mengunjung walaupun kerajaan membenarkan ziarah pada hari pertama Aidilfitri. Beliau dalam kenyataannya meluahkan rasa bimbang sekiranya SOP ziarah tidak dipatuhi, kemungkinan kes Covid-19 akan meningkat selepas Aidilfitri dan mewujudkan satu kluster baharu iaitu kluster Aidilfitri. Katanya, sekiranya melakukan ziarah rakyat dinasihatkan semoga patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Jika boleh, elak ziarah kubur, elak kunjung-mengunjungi dan adakan perayaan tertutup sahaja dengan keluarga kita. Mesti ada penjarakan sosial. Elakkan bersentuhan dan bersalaman. Setiap rumah kita pergi, kerapkan cuci tangan. Kalau boleh elakkan perhimpunan di kawasan sempit. Bersembang pastikan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, bertarikh 20 Mei 2020.

Bersempena 1 Syawal ini, kami daripada pihak Daily Kampus ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam walau di mana jua anda berada. Ayuhlah kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru dilahirkan setelah sebulan merebut taqwa. Bersamalah kita menjaga kebersihan dan sentiasa akur akan arahan kerajaan. Semoga Aidilfitri kali ini memberikan kita keberkatan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah seperti mana yang kita harapkan pada bulan Ramadan yang telah pergi.

Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *