“Sebagai seorang pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa. Tapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam; kalau perancangan kita betul, kita boleh menyelamatkan satu negara.”
Tahun 2020 menyaksikan pelbagai momen manis buat figura paling popular Malaysia iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang banyak mencurahkan bakti dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Ternyata, segala jerih payahnya diberi penghargaan yang sewajarnya apabila beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Anak kelahiran Sepang, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dikurniakan pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia atas sumbangan besarnya dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global, bertepatan dengan tema sambutan kali ini iaitu ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’, yang mengangkat kepentingan kekuatan modal insan, ilmu pengetahuan, serta kecekapan pengurusan dalam menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat.
Pada 17 Ogos lalu, nama Dr Noor Hisham sekali lagi menjadi sebutan apabila beliau dikurniakan pingat kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota(PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.
Sesungguhnya kredibiliti dan kecekapan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk semua pengiktirafan tersebut adalah lebih daripada layak. Kami daripada pihak Daily Kampus mewakili komuniti UIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan kebanggaan kami atas pencapaian Tan Sri. Semoga terus berjaya menjadi pemimpin dan hero kebanggaan rakyat Malaysia.
Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda
