Sebagai penutup tirai Wawancara Eksklusif: Apa Kata Presiden oleh DailyKampus pada tenure kali ini, kami telah menampilkan Presiden Persatuan Mahasiswa Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (ARCHIMIC), Saudara Muhammad Qayyum Irfan yang juga merupakan pelajar tahun dua jurusan Ukur Bahan. Ketika memulakan bicara tentang matlamat beliau dan rakan sepasukan dalam ARCHIMIC, jejaka yang berasal dari Perlis ini tidak ragu untuk mengakui bahawa beliau dan rakan-rakan, sepertimana juga komiti dalam KBS lain, berharap mereka dapat memberikan khidmat untuk warga kulliyyah sebaiknya, selain berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan ARCHIMIC yang diwarisi dari senior-senior sebelum beliau dan rakan-rakan.
Melanjutkan wawancara, Saudara Zainul Afif yang bertindak sebagai moderator program bertanyakan tentang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar KAED khususnya sepanjang tempoh menghabiskan baki semester kedua bagi sesi pembelajaran tahun 19/20, serta bagaimana komiti dalam ARCHIMIC bertindak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Akui Qayyum, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh beliau dan rakan-rakan sementelah semua keputusan dan pelaksanaan berkaitan ERTL dibuat oleh pengurusan kulliyyah, sementara di pihak ARCHIMIC, mereka hanya membantu dalam mengumpulkan data-data pelajar, contohnya, ketika terdapat pelajar KAED yang tidak dapat pulang ke kampus untuk menghabiskan baki semester bermula pada 1 Julai yang lalu. Tambahnya, masalah-masalah yang dilaporkan oleh para pelajar KAED sepanjang tempoh pelaksanaan ERTL, penyelesaiannya adalah dari pihak pengurusan kulliyyah sendiri.
Mengulas lanjut berkenaan kesukaran pelajar-pelajar KAED ketika berhadapan dengan sistem pembelajaran di atas talian, kata beliau, meskipun mereka berada di kampus, namun, hanya subjek-subjek studio yang memerlukan keberadaan mereka secara fizikal sementara subjek-subjek lain dijalankan menerusi atas talian. Disebabkan ini, kata beliau, para pelajar yang memerlukan konsultansi bersama para pensyarah mempunyai ruang yang sangat terhad untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi sistem pembelajaran di KAED hampir keseluruhannya adalah berasaskan penilaian kerja kursus, berlainan dengan kebanyakan kulliyyah-kulliyyah lain di UIAM. Tambah beliau, ketika memberikan contoh situasi pelajar yang tidak dapat pulang ke kampus pada baki semester lepas, para pensyarah telah pun memberikan sedikit tambahan masa ketika penilaian berjalan, namun, masih terdapat segelintir kecil pelajar yang tidak berjaya menghantar penilaian tersebut seperti masa yang dijanjikan disebabkan oleh masalah akses internet yang lemah di kawasan mereka. Oleh itu, ulas beliau, toleransi dan persefahaman di antara pelajar dan para pensyarah amat penting untuk dititikberatkan ketika berhadapan situasi berkenaan agar ianya tidak membebankan mana-mana pihak.
Ketika ditanyakan tentang perkembangan terbaharu dari pihak pengurusan tertinggi UIAM berkenaan arahan untuk kembali ke kampus bagi seluruh pelajar pada semester hadapan, Qayyum bereaksi positif terhadap perkembangan berkenaan memandangkan kata beliau, para pelajar KAED telah pun berpengalaman menjalani PdP dalam kawalan norma baharu sepanjang tempoh PKPP pada semester lalu, namun, beliau sepertimana rakan-rakan yang lain juga, mengharapkan satu keputusan yang lebih baik dapat dicapai oleh pihak pengurusan kulliyyah dalam merancang dan melaksanakan sistem penilaian terhadap pelajar-pelajar kulliyyah berkenaan sekiranya keadaan pembelajaran pada semester hadapan tidak banyak berubah sepertimana semester lalu.
Mengakhiri wawancara ini, Qayyum menyatakan harapannya untuk melihat sekurang-kurangnya satu program kendalian ARCHIMIC secara khusus dapat dilaksanakan di bawah pengurusan beliau dan rakan-rakan selain mengharapkan sokongan berterusan dan penyertaan yang lebih baik dari para pelajar KAED seandainya program berkenaan berjaya dilaksanakan kelak.
Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda