REKTOR: UIA GOMBAK CUTI 10 HARI BERMULA HARI INI
GOMBAK, 13 Feb – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Dzulkifli Abdul Razak semalam mengumumkan penangguhan sesi kuliah di Kampus Gombak selama 10 hari berkuatkuasa hari ini sehingga 23 Februari ini.
“Semua aktiviti pelajar juga dinasihatkan supaya ditangguhkan. Semua pelajar dibenarkan pulang ke kampung halaman jika mereka kehendaki dan kepada mereka yang memilih untuk kekal berada di kampus dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah mengurangkan risiko jangkitan”
Keputusan itu dibuat sebagai tanda keprihatinan UIAM terhadap kesihatan dan kesejahteraan pelajar berikutan situasi terkini wabak Coronavirus (COVID-19). 7 Januari lalu, Universiti Malaya telah mengeluarkan arahan penangguhan kuliah dan sebarang pengajaran dan pembelajaran (PnP) digantikan dengan kelas secara tidak bersemuka (atas talian).
Menurut Dr. Siti Masitah, Ketua Pegawai Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM atau ‘IIUM Health and Wellness Centre’ (IHWC), ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) proses saringan dan pegawasan (Home Surveillance) masih dijalankan dan mengikut prosedur yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penangguhan proses PnP juga adalah untuk melancarkan proses pemeriksaan kesihatan yang telah dilaksanakan sejak 28 Januari lalu ke atas para pelajar ambilan baru, pelajar-pelajar China dan juga mereka yang baru pulang dari negara China.
Dalam pada itu, IHWC juga mengesahkan tiada sebarang kes positif Coronavirus di semua kampus (Gombak, Kuantan, Gambang, Pagoh dan Kuala Lumpur). Para pelajar turut dinasihatkan menyekat sebarang penularan berita palsu dan mendapatkan kesahihan berita melalui portal rasmi UIAM. Tindakan tegas boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.