[UIAM BERI ANUGERAH MERIT IBN KHALDUN]
Gombak, 25 Okt – Anugerah Ibn Khaldun oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun ini bakal dikurniakan kepada petugas barisan hadapan negara.
Pemilihan penerima Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global ini diperkenankan sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang juga merupakan Ketua Perlembagaan UIAM. Baginda berkenan untuk mencemar duli berangkat ke majlis penganugerahan tersebut yang dijangkakan bakal berlangsung pada November tahun ini di kampus utama UIAM Gombak.
Mengulas mengenai pemilihan penerima anugerah tersebut, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM, berkata, “Dengan adanya penganugerahan ini, ia sebagai tanda penghargaan dan ucapan setinggi terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan ia sedikit sebanyak diharapkan bakal menjadi pemangkin untuk menaikkan semangat mereka dalam menjalankan tugas”.
Seperti yang diketahui umum, sejak pendemik Covid-19 melanda negara pada Mac yang lalu, petugas barisan hadapan sentiasa berusaha bertungkus-lumus mengekang penularannya dan memutuskan rangkaian jangkitannya daripada terus merebak menjangkiti penduduk negara ini. Jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh mereka melayakkan para petugas barisan hadapan ini menerima anugerah yang diperkenalkan dengan tujuan untuk mengiktiraf organisasi-organisasi yang menerajui serta menyumbang dari segi kepakaran atau kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat tanpa mengharapkan pulangan dari segi nilai wang ringgit.
Majlis yang dijangkakan bakal dijalankan dalam skala yang kecil ini merupakan majlis yang ketiga seumpamanya dijalankan sejak Anugerah Merit Ibn Khaldun UIAM diperkenalkan pada tahun 2018. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) merupakan penerima-penerima anugerah tersebut pada edisi sebelum ini.
Rujukan:
https://www.iium.edu.my/…/anugerah-ibn-khaldun-buat…
https://www.kosmo.com.my/…/petugas-barisan-hadapan…/
Daily Kampus – Portal Mahasiswa Anda