#UNDI18: KERAJAAN PERLU PROAKTIF MEMBERI PENDIDIKAN POLITIK
– Saudari Masitah Ismail
Malaysia telah mencipta langkah baru apabila Dewan Rakyat bersepakat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019. RUU ini akan bakal meningkatkan sebanyak 7.8 juta bakal pengundi yang berumur 18 tahun agar mereka dapat terlibat dengan politik negara secara langsung. Belia yang berumur 18 tahun akan didaftarkan sebagai Pemilih (pengundi) untuk Pilihanraya Umum (PRU) dan Pilihanraya Kawasan (PRK).
Namun begitu, kerajaan perlulah sedar bahawa penurunan had umur daripada 21 tahun kepada 18 tahun hanyalah perkara yang subjektif. Secara objektifnya, kerajaan perlulah merangka strategi untuk meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan belia. Hal ini kerana, penglibatan anak muda didalam politik kelihatan asing dalam masyarakat. Remaja yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih cenderung berbincang tentang pendidikan tinggi berbanding politik. Manakala, orang dewasa lebih cenderung mengikuti isu politik dan isu semasa.
Permasalahan ini berlaku kerana anak muda tidak didedahkan dengan pendidikan politik secara matang dalam keluarga. Di sekolah pula,rata-rata remaja lebih mengejar pencapaian akademik dan sahsiah demi melayakkan diri mereka ke alam universiti. Tidak pernah diantara mereka terdetik untuk terlibat dalam mana-mana pergerakan politik kerana cetek ilmu dan pengalaman mengenai dunia politik.
Jika kerajaan hanya menunggu remaja menimba pengetahuan politik secara sukarela seperti banyak rajin membaca dan membuat kajian tentang dasar-dasar negara. Kami yakin, rata-rata daripada mereka lebih berminat membaca perkara-perkara yang mereka minati. Justeru, kerajaan tidak perlu berlengah menunggu belia mengorak langkah ke alam politik tetapi kerajaan perlu mengunakan medium sedia ada untuk memberi maklumat asas tentang pentadbiran negara menerusi institusi pendidikan dan media massa.
Pendidikan politik berobjektif untuk membentuk seorang anak muda menjadi seorang negarawan, dan cinta terhadap negara. Sebagai contoh, matapelajaran sejarah tidak hanya berkisar dengan kronologi sejarah datuk nenek moyang sahaja. Silibus sejarah perlu ditambah dengan elemen perbincangan supaya ia mampu membuka minda seorang murid tentang sifat kekitaan dan nasionalism.
Sekolah juga perlu menjadi medium yang interaktif kepada murid untuk mempelajari sistem demokrasi. Selain dapat memahami sistem demokrasi dari segi teori, sekolah menyediakan platfom dan peluang supaya murid dapat merasai situasi sebenar sistem pengundian. Jadi, mereka lebih bersedia dan matang. Selain itu, Pengajian Am yang dipelajari oleh pelajar tingkatan 6 juga antara subjek terbaik untuk memperkenalkan murid tentang sistem dan lanskap politik kerajaan yang bermula daripada pencalonan calon (sebelum menjadi ahli Dewan Rakyat) sehinggalah cara-cara yang digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar kerajaan.
Di samping itu, media massa perlulah memainkan peranan sebagai medium penghantar maklumat yang efektif dan infomatif. Remaja pada hari ini banyak meluangkan masa dengan media sosial dan massa untuk mendapatkan infomasi dan menyebarkan maklumat hanya menggunakan hujung jari. Kerajaan perlulah mengunakan media massa untuk meningkatkan tahap kecaknaan belia tentang polisi negara dalam bentuk video, poster dan artikel. Penampilan ikon belia yang aktif dalam bidang politik juga berpotensi meningkatkan kecenderungan anak muda ke arah isu nasional. Ikon belia juga perlu bergiat aktif membincangkan aspirasi kerajaan dan dasar kerajaan.
Terbaru, Majlis Perundingan Belia Negara telah menyediakan satu medium untuk meningkatkan pembangunan belia selari dengan aspirasi #YOUTHPOWER. Anak muda akan diberikan peluang untuk menjadi Ahli Lantikan Menteri secara langsung dan terlibat dalam persidangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Belia Negara. Perbincangan seperti ini sangat penting kerana ia akan memperlihatkan perkongsian idea baharu dari belia. Namun, sejauhmana platform ini menguntungkan belia Malaysia?
Oleh itu, kerajaan perlulah bertindak secara bijak dalam menyediakan pendidikan politik secara berperingkat. Penglibatan ahli akademik, kerajaan dan belia dalam merangka pendidikan politik sangatlah penting. Janganlah kerajaan bersungguh-sungguh meluluskan suatu akta hanya untuk memenuhi aspirasi #YOUTHPOWER tanpa memahami relatif kecenderungan orang muda kita.
Masitah Ismail
Pelajar Sains Politik, UIAM
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakilil pandangan Daily Kampus